السلام عليكم
Salam Ramadhan buat kesayanganku semua. Harini as usual, lepas terawih merupakan waktu untuk aku bermalas-malas sebelum tido. Kalau x main whatsapp, aku akan buka fb untuk lihat kalau2 ade org message ke kan.. (selalunya nan hado lol). Tapi tadi ketika tengah leka scroll timeline, aku ternampak post seorang kenalan fb yang di sharekan ke group phd support group, bebudak postgrad tau la group ni. Bila baca perkongsikan tu, aku terasa sedikit sebak mengenangkan apa yang telah beliau lalui. Sungguh beliau wanita yang tabah. Benar kata org, menuntut ilmu di perantauan menuntut banyak pengorbanan. Sayangnya muda-mudi masa kini selalu beranggapan mereka yg study kat oversea tu happy belaka, yelah dapat main salji.. elaun pulak beriban.. boleh melancong sana sini.. bestnye grrr.. tapi hakikatnya.. mereka yg melaluinya sahaja yang tau. Kalau diorng share pic lambakan chapter thesis yg x bertaip, senarai references yang tunggang-langgang, ade ke org yg sudi nak taipkan, nak betulkan? Kalau share pic duit saku yg tinggal cukup2 makan, ade ke sahabat handai yg sudi nak bankin kan? Jawapannye TIADA. So, ada baiknya diorg share pic posing ala2 frozen di tepian salji, berdiri sambil cekak pinggang depan stadium Manchester United, x pun lompat bintang secara berjemaah depan Eiffel Tower ~ dapat gak buat korang yg x memberi sumbangan ni makan hati, x gitchew haha.
Yes, I do agree. Decisions are the hardest thing to make, especially when it is a choice between where you should be and where you want to be..
Moga coretan fb sis yani ini menjadi pedoman pemangkin semangat buat sang penuntut ilmu ☼
Hari raya dengan PhD..
Waktu kalau boleh diputarkan kembali, saya mahu kembali kepada saat diri ini masih belum beroleh PhD.
Kenapa?
Tahun 2008, saya ditawarkan tempat untuk melanjutan pengajian master di Belanda selama 1 tahun ½. Saya pergi, meninggalkan bayi 9 bulan dalam jagaan ibu dan suami kerana visa tidak membenarkan saya membawa mereka ke sana atas alasan master adalah pelajar dan bukan pekerja.
Akhirnya saya pergi jua dengan linangan air mata, mengharapkan jihad untuk masa depan saya akan diredhai dan Allah akan memudahkan pembelajaran saya. Alhamdulillah, perpisahan mengajar erti sabar dan toleransi buat pasangan yang telah berkahwin seperti kami. Bagi saya, selepas 6 bulan berpisah, tiada apa yang saya inginkan selain menjadi ibu yang lebih baik. Setiap waktu yang terluang, selepas menyiapkan hal ehwal pelajaran, saya akan masak dan habiskan masa bersama keluarga.
Saya berjaya habiskan pengajian Master pada Mac 2010, dan pulang seketika untuk menghabiskan masa bersama keluarga kerana akan meneruskan pengajian PhD di tempat yang sama selama 4 tahun. Waktu itu, saya ada utarakan pada suami, 4 tahun itu lama, bagaimana harus kita jalani kehidupan kita tanpa orang tua di sisi selama masa itu? Adakah mereka akan tetap sihat sehingga saya habis belajar? Suami dengan tenang menjawab, sama-sama kita berdoa yang Allah akan panjangkan umur mereka.
Alhamdulillah, pada Mei, 2013 saya diberikan rezeki untuk membawa kedua ibubapa saya ke Belanda. Bayangkan selepas 3 tahun tidak bertentang mata, dan saya pun sudah ada satu lagi cahaya mata, sudah pasti saya akan merasa amat teruja bertemu orang tua. Perkara pertama terpacul di mulut saya tatkala berjumpa kedua ibu bapa ialah, “Ma Nampak tua.” Apapun seronok ibubapa ada dirumah, terasa ringan segala beban yang ditanggung. Menjamah makanan ibu pun kita rasa seolah berada di hotel 5 bintang dan saya menjadi lebih bersemangat untuk bekerja. Hampir kesemua tempat di Belanda kami jelajah, dari Keukenhoff hingga ke tempat saya bakal bergraduat. Sungguh, waktu itu saya benar-benar mahu habis dan pulang ke Malaysia.
Dipendekkan cerita, bapa mertua saya (ayah tiri suami) meninggal dunia pada 1 Syawal 1434H (Ogos 2013). Pada mulanya saya tidak mahu pulang sebab biasiswa akan habis pada Mac 2014 dan ada banyak perkara yang harus saya habiskan. Namun, seolah-olah ada kerinduan yang memanggil saya untuk pulang. Disebabkan kami ditanggung oleh insurans, jadi saya pulang ke tanahair selama 28 hari. Walaupun anak kedua saya masih belum ada visa, tapi urusan kami dipermudahkan untuk mendapatkan visa tersebut (dalam masa sehari sahaja). Alhamdulillah pada 2 syawal 1434, saya dan suami berhari raya di kampung. Ibubapa dan kesemua adik beradik saya seramai 7 orang juga datang berhari raya di rumah mertua. Ya Allah, saya bayangkan pasti hari raya tahun hadapan akan lebih meriah bila kesemuanya dapat berkumpul. Selama 2 minggu saya di rumah mertua, dan 2 minggu lagi di rumah saya kerana suami harus ke Kuala Lumpur. Bayangkan, saya dan anak-anak bermanja dengan ibu saya. Meminta bermacam jenis makanan, memandu ibu ke sana-sini. Hanya saya sahaja di rumah bermanja. Alangkah seronoknya!
Pada bulan Disember, ibu saya sakit. Saya diberitahu tak perlu pulang kerana adik beradik boleh uruskan ibu saya. Malah, pada hari saya bermesyuarat dengan supervisor (10 Dec 2013), abang saya memaklumkan yang keadaan ibu lebih baik dari semalam. Kuasa Allah, ibu saya menghembuskan nafas terakhir pada 11 Disember 2013. Waktu itu, tengah malam di Belanda, mana mungkin saya boleh pulang untuk melihat ibu saya buat kali terakhir. Saya…. Kelu seribu bahasa. Seminggu saya berjalan kaki sahaja kesana kemari memikirkan kenapa saya sambung belajar. Kalau tak ingat Allah pasti diri ini dah naik gila. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya kumpulkan kekuatan yang ada dengan berdoa, bersolat dan membaca Al-quran untuk menghabiskan apa yang termampu.
Saya tidak ke kubur ibu sehinggalah saya menghabiskan pengajian PhD, hanya untuk menunaikan apa yang ibu saya mahukan sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Bayangkan, selepas 2 tahun barulah saya berpeluang ke kubur ibu untuk memberitahu yang saya dah berjaya memperoleh PhD. Pulang ke kampung, rumah seperti tak ada jiwa. Tidak seperti waktu saya pulang sebelumnya. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ini.
Bagi saya, walau sesibuk manapun kita memikirkan PhD, luangkanlah masa pada keluarga. Waktu kerja, kita kerja. Waktu kita rehat, luangkan masa untuk suami dan anak-anak. Kalau ada rezeki, jika tinggal di luar negara, pulanglah ke kampung halaman. Masa bersama keluarga sangat berharga. We just don't know when is the last goodbye.. Walau anda akan lambat siapkan kerja2 PhD, tapi andai orang yang kita sayangi telah tiada, tiada lagi maksud PhD kita itu.
Hari ini, saya sudah berjaya menerima hakikat Allah ada perancangan yang lebih baik untuk saya. Semoga Allah memberi Jannah kepada ibu dan semoga saya akan menjadi muslimah yang lebih baik. Di saat Ramadhan semakin meninggalkan kita, saya rasa sayu… hari raya pertama dengan PhD.
Al-fatihah buat arwah ibu.
P/s : Minggu depan dah nak raya, persiapan untuk diri sendiri apa pun x da.. langsung x keysah
asalkan family masih ada :')